KUALA LUMPUR, 29 April- Kerajaan sedang membuat kajian bagi meminda Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) tahun depan termasuk kes pengantunan seksual kanak-kanak yang mewujudkan cabaran kepada undang-undang sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia bagi memastikan sistem perundangan negara setaraf dengan kecanggihan teknologi kini.
"Tetapi saya tidak dapat menafikan penambahbaikan yang kita lakukan pada tahun 2017 tidak sesuai dengan keadaan sekarang.
"Sebagai contoh ketika berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) salah satu masalah terbesar apabila ada pihak yang menjual visual kanak-kanak di 'dark web'.
"Kini dilakukan secara terbuka di internet dan bercakap mengenai cabaran terbesar terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) apabila teknologi berkenaan boleh memberi respon semula," katanya dalam sidang media di Simposium Antarabangsa Mengenai Pemerkasaan Kanak-Kanak Komisen: Memperkukuh Hak Dan Melindungi Masa Hadapan di sini.
Azalina berkata simposium itu bertujuan membuat perbandingan dan belajar dari negara lain mengenai peranan yang dimainkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di negara masing-masing.
Pada masa sama kerajaan juga mengkaji keperluan untuk mewujudkan OCC di peringkat negeri bagi memastikan pemantauan yang lebih menyeluruh.