
KUALA LUMPUR, 7 April– Ketegasan kepimpinan menjadi faktor utama kejayaan dalam usaha membanteras rasuah, bukan semata-mata bergantung kepada kekuatan undang-undang.
- Perlu iltizam politik yang jelas dan tegas tanpa kompromi untuk melaksanakan reformasi serta tadbir urus berintegriti.
- Pendekatan Three-Pronged SPRM fokus kepada penguatkuasaan berkesan, pencegahan menyeluruh dan pengurusan efektif.
- Tumpuan kepada tiga sektor berisiko tinggi: perolehan kerajaan, penguatkuasaan sempadan dan ketirisan dana awam.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan sistem yang paling kukuh sekalipun tetap berisiko gagal sekiranya barisan kepimpinan lemah dan cenderung berkompromi terhadap amalan rasuah.
“Oleh itu, perlu ada iltizam politik yang jelas dan tegas tanpa sebarang kompromi. Walaupun sistem sedia ada belum sempurna, reformasi serta langkah ke arah tadbir urus yang lebih efisien, berintegriti dan mantap sedang giat dilaksanakan di bawah kepimpinan ini,” kata Tan Sri Azam, hari ini.
Berucap pada Wacana Ilmiah Perdana anjuran Asia-e University, beliau berkata SPRM kini menggerakkan pendekatan “Three-Pronged Approach” yang memfokuskan kepada penguatkuasaan berkesan, pencegahan menyeluruh dan pengurusan efektif.
Pendekatan itu jelasnya bukan sekadar strategi, tetapi kerangka menyeluruh bagi menutup ruang serta peluang berlakunya rasuah dalam sistem negara.
Dalam masa sama, SPRM mengenal pasti tiga sektor berisiko tinggi yang menjadi tumpuan utama iaitu perolehan kerajaan melibatkan kartel dan monopoli, penguatkuasaan sempadan serta ketirisan dana awam.
Tegas Tan Sri Azam, rasuah kini tidak lagi berlaku secara terasing, sebaliknya melibatkan rangkaian kompleks merentasi pelbagai sektor termasuk awam, korporat dan antarabangsa yang memerlukan tindakan menyeluruh dan bersepadu.