
PUTRAJAYA, 2 April –Kerajaan sedang meneliti keperluan sebenar negara untuk mengimport sisa plastik, termasuk kemungkinan memperkenalkan sistem kuota bagi mengawal kemasukan bahan berkenaan.
- Sesi libat urus akan diadakan tidak lama lagi untuk mendapatkan pandangan menyeluruh daripada pelbagai pihak berkepentingan.
- Sebelum sebarang keputusan mengenai import dan sebarang kuota dibuat, kesan terhadap alam sekitar akan diambil kira.
- Sesi libat urus melibatkan MITI, KPKT dan pihak berkuasa tempatan untuk merangka langkah pengurusan dan penguatkuasaan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki berkata, satu sesi libat urus akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan import plastik mengambil kira kesan terhadap alam sekitar.
“Sebelum sebarang keputusan mengenai kuota dibuat, kita perlu melihat dahulu keperluan sebenar serta kesan terhadap alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) di Ibu Pejabat SPRM, di sini.
Tan Sri Azam yang juga yang juga mengetuai Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan dan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara berkata, sesi tersebut akan melibatkan beberapa agensi utama termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata cadangan kuota akan dipertimbangkan sekiranya import plastik masih diperlukan.
Dalam pada itu, data antarabangsa menunjukkan Malaysia antara negara yang aktif mengimport sisa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pengurusan sisa yang tidak sempurna.
Kerajaan sebelum ini telah mengetatkan kawalan ke atas import sisa plastik sejak 1 Julai tahun lalu, bagi memastikan hanya bahan yang boleh dikitar semula dibenarkan masuk ke negara ini.