fb fb fb fb fb

Kenyataan Koo Ham lantik pakar bukan Islam satu kekhilafan - Anthony

Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR, 29 Disember- Kenyataan Pengerusi DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham; mencadangkan pelantikan pakar perundangan bukan Islam untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa tersebut.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas itu bukan ditentukan oleh Jemaah Menteri tetapi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan mereka melapor secara langsung kepada majlis tersebut.

“Jawatankuasa tersebut ditubuhkan oleh MKI yang dipengerusikan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) dan bertujuan untuk menasihati Majlis tersebut dengan cadangan-cadangan memperkasakan bidang tugas Mahkamah Syariah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa.

Anthony turut menyangkal bahawa kenyataan Koo Ham itu cuba untuk mencampuri urusan agama Islam.

“Saya amat sedar bahawa kenyataan Datuk Ngeh (Koo Ham) akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam, ini tidak benar sama sekali.

"DAP menghormati kebijaksanaan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI,” katanya.

Berdasarkan laporan media, Koo Ham baru-baru ini ada mengemukakan cadangan berkaitan pelantikan pakar perundangan bukan Islam menganggotai jawatankuasa tersebut, mengambil kira pandangan bukan Islam sebelum apa-apa perubahan pada undang-undang syariah dibuat.

Anthony juga menyatakan bahawa masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara tersebut kerana sekiranya sebarang pindaan undang-undang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen.

“DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum merupakan tanggungjawab kita bersama.

"Marilah kita mengakhiri tahun 2023 ini dengan semangat yang harmoni dan menyumbang kepada Malaysia yang makmur dan sejahtera pada tahun 2024,” tambah Anthony yang juga Menteri Pengangkutan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA