fb fb fb fb fb

Kenyataan Kok On terus dibidas

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 21 Jun- Tindakan Jurucakap Parti Gerakan DUN Sungai Pinang, Mok Kok On yang mempersoalkan tindakan kerajaan Persekutuan menambah jumlah penjawat awam mendapat kritikan pelbagai pihak.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, penjawat awam terbahagi kepada sub sektor tersendiri mengikut kepakaran, tidak timbul isu lambakan pekerja.

"CUEPACS merasakan amat terkilan apabila mengganggap anggota perkhidmatan awam itu sendiri sebagai beban kepada negara dalam bentuk sistem saraan dan kadar upah dan pencen yang ada ketika ini.

"Amat tidak munasabah seorang ahli politik sentiasa memainkan isu perkhidmatan awam menjadi beban kepada kerajaan. Kami sebenarnya telah menyampaikan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat dengan begitu berkesan demi menjaga kedaulatan negara ini. Keselamatan dan ketenteraman seperti mana kita berada dalam COVID-19 yang melanda, demi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara," kata Adnan kepada RTM di sini.

(Datuk Adnan berkata, penjawat awam terbahagi kepada sub sektor tersendiri mengikut
kepakaran, tidak timbul isu lambakan pekerja)

Sementara itu, orang ramai yang ditemui RTM turut tidak bersetuju penjawat awam dikurangkan seperti yang dicadangkan Kok On.

"Jika nak kata kita tak nak bagi kerja begitu banyak kepada orang kita, kita nak kurangkan tenaga, tak boleh cuma kita boleh tambah baik," kata orang awam, Teh Syafiq Abdullah.

"Bagi pendapat saya, faktor pertama ekonomi, kalau diberhentikan serta-merta, kita kena fikir juga tanggungjawab, contoh ketua keluarga dia nak cari kerja mana? Sebab bagi saya, dalam situasi sekarang ni, memang susah nak cari kerja," kata penjawat awam, Alyani Hamid.

"Dengan adanya kerajaan sekarang ni, kita memerlukan kakitangan yang amat ramai sebab kakitangan ni dah mampu untuk membangunkan dan membina lagi negara kita yang masih lagi negara membangun, jadi memang memerlukan tenaga kerja yang banyak," kata Mohammad Hafzan Azmir.

Sebelum ini Kok On menerusi hantaran di Facebook Gerakan Penang mendakwa, penjawat awam sedia ada adalah beban kepada negara dan perlu disemak semula.

Beliau turut menggesa kerajaan mengecilkan pengambilan kakitangan awam bagi mengurangkan hutang negara.

Media Baharu