Kes tembak kereta komander AKPS, PM arah langkah keselamatan segera

Kenderaan dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak pagi tadi

BUKIT KAYU HITAM, 25 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang serius insiden tembakan terhadap kenderaan dinaiki seorang komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di sini pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan langkah keselamatan segera selepas insiden tembakan terhadap kenderaan Komander AKPS.
  • Ketua Pengarah AKPS diminta memaklumkan keperluan seperti senjata api, baju kalis peluru dan peralatan keselamatan lain.
  • Insiden tembakan itu dilaporkan sebagai kejadian terpencil dan berlaku buat kali pertama di kawasan itu.
  • Kejadian berlaku kira-kira 5.40 pagi berhampiran Masjid Al Muhajirin, sekitar satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain untuk memaklumkan sebarang keperluan keselamatan bagi tindakan segera.

“Perdana Menteri seawal pagi telah menghubungi saya dan menegaskan agar sebarang keperluan bagi meningkatkan keselamatan pegawai AKPS dimaklumkan kepadanya.

“Ini termasuk bekalan senjata api, baju kalis peluru serta peralatan lain yang boleh memastikan keselamatan anggota semasa bertugas.

“Langkah-langkah ini akan membolehkan anggota menjalankan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.

Datuk Seri Mohd Shuhaily yang meninjau situasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam berkata insiden tembakan itu berlaku buat kali pertama dan bersifat terpencil.

Beliau menegaskan orang awam boleh menggunakan kemudahan di ICQS seperti biasa tanpa bimbang.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohd Shuhaily tidak menolak kemungkinan ada pihak yang terjejas dengan penguatkuasaan agensi itu sehingga timbul risiko membabitkan kes tembakan pagi tadi.

“Sebelum ini, dalam satu ucapan kepada komander dan komenden, saya telah menyentuh mengenai ancaman serta ugutan jenayah terhadap pegawai dan anggota di sini.

“Kita mengambil perkara itu secara serius dan mengingatkan semua supaya sentiasa berwaspada. Namun pagi ini, kita tidak menjangka ia berlaku sehingga ke tahap tersebut,” katanya.

Dalam kejadian pagi tadi, kenderaan dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak disusur masuk Masjid Al Muhajirin, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand pada 5.40 pagi tadi.

Beliau kini stabil dan dalam keadaan selamat.