fb fb fb fb fb

'Kenal pasti jumlah usahawan terjejas banjir'- Noh

TANJUNG KARANG, 4 Mac- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedang mengenal pasti jumlah sebenar usahawan yang terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka terbabit.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata pengumpulan maklumat usahawan berkenaan dibuat melalui proses yang sama seperti dilakukan kementerian itu ketika banjir berlaku di negeri lain pada Disember tahun lalu.

"Kita belum dapat lagi (jumlah sebenar usahawan terjejas), tetapi kita mempunyai lima saluran yang boleh mengesan golongan usahawan terbabit. Antara saluran itu, adalah menerusi Tekun Nasional (TEKUN), Amanah Ikhtiar Malaysia, (AIM) persatuan penjaja dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya

Ujarnya, usahawan terjejas juga boleh membuat permohonan secara terus dalam talian yang kini sudah dibuka permohonannya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, golongan ini hanya perlu membuktikan mereka berniaga dan mengalami kerugian akibat banjir.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Kembali ke Sekolah Parlimen Tanjong Karang, di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang.

Seramai 1,300 pelajar daripada kategori asnaf dan miskin di Parlimen Tanjung Karang menerima sumbangan beg sekolah dan baucar pembelian kelengkapan sekolah bernilai RM 100.


(Noh bergambar bersama penerima bantuan program Kembali ke Sekolah Parlimen Tanjong Karang hari ini)

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara memberi kelonggaran kepada para usahawan berniaga untuk tidak mengeluarkan kompaun dan saman sewenang-wenangnya.

Ini termasuk memberi peniaga 'tempoh bertenang' sekurang-kurangnya sehingga bulan Jun, sebelum menguatkuasakan undang-undang terhadap golongan tersebut.

Noh Omar memaklumkan budi bicara pihak PBT amat diperlukan terutama pada waktu-waktu sukar ini.

"Sebab kita kena terima hakikat khususnya di Selangor ini, orang kata dah jatuh ditimpa tangga. COVID-19 tak selesai, banjir pulak menimpa, kita kena ada rasa tolak ansur. Saya bercakap demikian kerana saya sebagai Menteri Usahawan dan Koperasi, kita bagi berbagai-bagai sumbangan, yang kena banjir pun kita bagi RM3,000 seorang. Apa maknanya kita bagi 3,000 kalau duit tu nanti kena bayar saman? Jadi saya minta jangan saman, jangan kompaun. Nasihat boleh sekiranya ada yang mengganggu lalulintas dan sebagainya," katanya.

Noh turut menyatakan penghargaannya kepada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) kerana telah mengeluarkan 850 lesen sementara kepada peniaga-peniaga kecil yang terjejas ketika musim pandemik, bagi membolehkan mereka meniaga.

Media Baharu