fb fb fb fb fb

Kenaikan ambang e-Invois langkah tepat, beri ruang PKS stabilkan operasi - FMM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Peningkatan nilai ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta memberi ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menstabilkan operasi dan mengukuhkan infrastruktur digital mereka.

Pengerusi Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), Jacob Lee berkata kenaikan itu tepat pada masanya, ketika kebanyakan PKS berdepan kekangan modal, kapasiti pentadbiran yang terhad, margin keuntungan yang tipis, selain persaingan yang hebat.

Faktor-faktor itu katanya, menjadikan pelaksanaan e-invois sebagai satu komitmen yang memerlukan perancangan teliti.

''Pematuhan e-Invois bukan hanya melibatkan pertukaran format, malah memerlukan proses naik taraf perisian sedia ada serta latihan kakitangan kewangan dan perakaunan. Semua ini memerlukan kos permulaan dan kos berulang.

“Justeru, peningkatan ambang ini memberikan nafas lega kepada PKS terlibat dan membolehkan mereka fokus kepada proses digitalisasi operasi secara berperingkat tanpa memberi beban kewangan yang ketara mahupun gangguan kepada operasi,” katanya kepada RTM.

Beliau turut menegaskan bahawa FMM akan terus menggalakkan pematuhan secara sukarela bagi membolehkan PKS memperkukuh proses dalaman, menaik taraf sistem dan bersedia untuk integrasi digital yang lebih meluas pada masa hadapan.

ROSLINA BINTI DIN