KUALA LUMPUR, 9 Disember - Kerajaan sedang menilai keperluan meneruskan pengecualian cukai pendapatan penuh kepada syarikat perkapalan Malaysia yang akan tamat tempoh pada 2026.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perbincangan masih dijalankan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memastikan inisiatif pengecualian cukai itu terus memberi manfaat kepada industri pengangkutan laut tempatan.
"Dalam memberikan sokongan, penting bagi kita memastikan terdapat kejelasan terhadap komitmen industri untuk memperkukuhkan armada tempatan secara berperingkat. Pengecualian cukai sahaja tidak mencukupi.
"Terdapat komitmen untuk membangunkan pengangkut laut tempatan supaya keseluruhan ekosistem industri dapat dibina serentak. Memberi pengecualian cukai sahaja tidak mencukupi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyenaraian ORKIM Berhad di Pasaran Utama Bursa Malaysia, di ibu negara hari ini.
Mekanisme sokongan yang disediakan juga bertujuan untuk menyokong agenda maritim negara, yang menjadi fokus utama pembangunan ekonomi laut negara.
Sebelum ini, pengecualian cukai pendapatan penuh syarikat perkapalan Malaysia di bawah seksyen 54a Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 telah berkuatkuasa selama tiga tahun bermula 2024 hingga 2026.