
PUTRAJAYA, 14 Januari – Kerajaan berhak menarik balik sebarang bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekiranya pemohon mengemukakan maklumat tidak tepat, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
- Kerajaan boleh menarik balik bantuan STR jika pemohon mengemukakan maklumat tidak tepat.
- Permohonan STR melalui semakan dan verifikasi dengan agensi berkaitan untuk tentukan kelayakan.
- Semakan suku tahunan dibuat untuk periksa pemilikan rumah, kenderaan, perniagaan, dan rekod bekerja di luar negara.
- Jika didapati maklumat palsu, tindakan undang-undang boleh diambil dan bantuan ditarik balik.
MoF dalam kenyataan hari ini memaklumkan setiap permohonan STR melalui pelbagai proses semakan dan verifikasi dengan agensi berkaitan bagi menyemak kelayakan pemohon.
Menurut MoF, semakan berkala turut diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak rekod pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara pemohon.
“Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil. Kerajaan juga berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, tular dalam media sosial dakwaan seorang individu layak untuk menerima bantuan STR, meskipun hasil sewaan enam rumah miliknya menjadikan pendapatannya melebihi nilai ambang kelayakan.-BERNAMA