fb fb fb fb fb

Kempen ‘Lose to Win’ perangi obesiti di Malaysia

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 9 Disember- 20 individu berpendapatan rendah bakal terpilih dalam program pengurusan Obesiti. Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur (“Su.Re Sihat KL”) melancarkan Kempen ‘Lose to Win’ bagi memerangi obesiti di Malaysia.

Melalui pendedahan terbaharu mendapati Malaysia menduduk tangga pertama obesiti di Asia Tenggara dan tangga kedua secara global, badan bukan kerajaan (NGO) tersebut berazam untuk menumpukan sumbernya dalam meningkatkan kesedaran terhadap epidemik tersebut.

Menurut Presiden, Su.Re Sihat KL, Shameem Akhtar Mohd Ashraf, obesiti kini bukan lagi dilabel sebagai penyakit negara dan isi rumah berpendapatan tinggi. “Dahulu kita menganggap orang menghidap obesiti akibat makan secara keterlaluan.

"Hari ini, anda pasti terkejut apabila mengetahui bahawa golongan B40 dan asnaf yang berpendapatan rendah juga boleh menghidap obesiti akibat faktor lain seperti kekurangan makanan berkhasiat, suasana bertekanan tinggi, genetik, kualiti hidup yang rendah dan banyak lagi”.

“Oleh itu, kami akan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi kempen ini untuk mengumpul dana supaya 20 individu berpendapatan rendah yang terpilih dapat menjalani program pengurusan obesiti yang menyeluruh termasuk prosedur kesihatan, pelan nutrisi, senaman dan lain-lain.

"Kami mahu mengubah kehidupan individu tersebut supaya mereka boleh meneruskan pekerjaan mereka untuk menampung ahli keluarga masing-masing,” tambahnya.

Harapan beliau, kempen ini dapat diteruskan dengan penyertaan rakan kongsi korporat, lebih ramai individu menghidapi obesiti dapat menikmati program pengurusan obesiti ini secara 'PERCUMA' .

Dalam jangka panjang, kempen ini akan mengubah lanskap kesihatan di Malaysia apabila semakin ramai orang awam menjadi lebih aktif dalam meningkatkan gaya hidup mereka.

Program kesihatan tersebut termasukan pembedahan yang akan dilaksanakan oleh doktor pakar tersohor di Asia Pasifik dalam bidang saluran gastro usus atas (“upper gastrointestinal”) dan bariatrik, Dr. Mustafa Mohammed Taher dari Pusat Perubatan Gastro Usus dan Hati (“CENGILD”).

“Prosedur bariatrik bukan lagi dikategorikan sebagai pembedahan kosmetik, sebaliknya prosedur penjagaan kesihatan profesional yang menawarkan penyelesaian yang baik untuk obesiti.

"Dari situ, pesakit obesiti akan dibimbing dengan program kesihatan yang lengkap untuk memastikan mereka pulih dengan cepat dan boleh meneruskan pekerjaan masing-masing secara lebih produktif untuk menyara keluarga mereka,” katanya.

Pemilihan calon-calon untuk Kempen ‘Lose to Win’ Su.Re Sihat KL ini akan disaring daripada senarai nama yang dihantar oleh komuniti tempatan dalam kawasan Lembah Klang.

Pesakit obes dengan Index Jisim Tubuh 35 ke atas akan diberikan keutamaan selepas lulus ujian klinikal untuk memastikan mereka sesuai untuk menjalani pembedahan bariatrik.

Pesakit diabetes jenis 2, darah tinggi dan gangguan tidur (“sleep apnea”) juga boleh menjalani prosedur tersebut.

Dalam pelancaran Kempen ‘Lose to Win’ ini, penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Aishah dan Datin Alyah turut dijemput untuk berkongsi perjalanan mereka menjalani program pengurusan berat badan bawah pemantauan Dr. Mustafa untuk meningkatkan kesihatan dan gaya hidup mereka.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan, kira-kira 50% orang dewasa di Malaysia adalah obes manakala 1 dalam 3 orang remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun juga mempunyai berat badan berlebihan berpunca daripada tabiat pemakanan dan gaya hidup.

Dalam satu laporan lain yang diterbitkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (“UNICEF”) pada tahun 2019 mendedahkan bahawa 12.7% kanak-kanak berusia antara 5 hingga 19 tahun adalah obes, bukti bahawa isu obesiti telah mencapai tahap membimbangkan di seluruh negara.

Kempen ‘Lose to Win’ ini akan menjadi salah satu tonggak utama bawah Su.Re Sihat KL sebagai usaha mendukung inisiatif kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat di Malaysia.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD