fb fb fb fb fb

Kempen Keselamatan Dalam Talian antara program 'flagship' tahun ini

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Januari- Kementerian Komunikasi akan menjadikan Kempen Keselamatan Dalam Talian antara program 'flagship' pada tahun 2025.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kempen tersebut bagi memastikan penggunaan internet yang lebih selamat untuk setiap lapisan masyarakat.

Beliau berkata Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang dilancarkan di Universiti Malaysia Kelantan pada 21 Januari lepas akan diperluas ke sekolah rendah dan menengah.

"Termasuk Kempen Keselamatan Dalam Talian, untuk pastikan internet bukan hanya lebih murah, lebih meluas, lebih laju, tetapi paling penting lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga kita", katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian, di sini.

Kempen yang bermula dengan memberi fokus kepada universiti awam itu melibatkan pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar.

Selain itu, kempen ini turut menyasarkan 10,000 sekolah rendah dan menengah serta sejumlah institusi pengajian tinggi menjelang akhir tahun.

Pelaksanannya pula akan dikembangkan ke masjid, surau dan tempat ibadat, persatuan penduduk serta rukun tetangga.

ROSLINA BINTI DIN