KUCHING, 19 Ogos - Sebanyak 196 buah sekolah rendah dan menengah, membabitkan lebih 31,000 murid serta pelajar, telah menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) setakat 15 Ogos lepas.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Cawangan Kuching, Ts. Scoot Kueh Sui Yek berkata, inisiatif itu merupakan langkah penting dalam membantu menangani isu keselamatan siber di negeri ini.
Jelasnya, kempen tersebut bertujuan menyemai budaya keselamatan internet dalam kalangan masyarakat sejak peringkat awal lagi.
“Kempen ini menyasarkan lebih 10,000 institusi pendidikan di seluruh negara termasuk di negeri ini, merangkumi sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam, institut pendidikan guru, golongan belia, dewasa dan warga emas. Usaha ini bertujuan menyemai budaya keselamatan internet dalam kalangan masyarakat sejak peringkat awal lagi,” katanya.
Beliau memaklumkan semasa menjadi tetamu di Konti SARAWAKfm di RTM Kuching.
Bertemakan “Internet Selamat, Semua Main Peranan”, Ts Scoot Kueh berharap pendekatan menyeluruh itu dapat melahirkan masyarakat yang celik digital, berwaspada terhadap ancaman dalam talian, serta menggunakan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab.