fb fb fb fb fb

Kementerian Digital sasar 100 C-CISO

Menteri Digital Gobind Singh Deo bercakap kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Pembangunan Keupayaan Profesional Keselamatan Siber

KUALA LUMPUR, 3 Jun - Sekurang-kurangnya 100 pakar keselamatan siber disasar untuk menerima tauliah sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Bertauliah (C-CISO) menjelang hujung tahun ini.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, menerusi Program Pensijilan C-CISO kementeriannya komited melahirkan lebih ramai bakat dan pakar dalam bidang berkenaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan sektor awam terhadap ancaman siber.

"Sasaran kita adalah setakat hujung tahun ini, kita melihat 100 C-CISO keseluruhannya sebagai permulaan tahun ini. Jadi hari ini permulaannya dimana kita memberi sijil kepada tujuh peserta dan saya harap terus melangkah ke hadapan," katanya.

Gobind Singh berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Program Pembangunan Keupayaan Profesional Keselamatan Siber, di sini.

Beliau turut menegaskan, kepentingan membina ekosistem bakat tempatan berdaya saing dan diiktiraf global.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Gobind berkata program pensijilan itu antara komponen utama dalam mendukung pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854), khususnya dalam kalangan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

“Sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO), individu ini memegang peranan strategik dalam memastikan pematuhan organisasi terhadap peruntukan di bawah Akta 854.

“Tanggungjawab CISO merangkumi perumusan dasar keselamatan siber, pelaksanaan kawalan teknikal, pengurusan risiko serta kesiapsiagaan organisasi dalam menangani insiden siber, selain sebagai penghubung strategik antara kerajaan, industri, penyedia teknologi dan komuniti NCII,” katanya.

Selain itu, CISO juga berperanan memacu transformasi budaya keselamatan dalam organisasi melalui latihan dan pensijilan berterusan serta memastikan sistem dan teknologi yang digunakan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

TETITIA YUSOFF