DAVOS, 23 Januari- Kementerian Digital bakal berkolaborasi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi sistem operasi dan perkhidmatan.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata kolaborasi itu akan mula dilaksana dalam masa terdekat.
"Peranan Kementerian Digital adalah untuk kita ini melihat bagaimana kita boleh menarik minat untuk pelabur-pelabur datang dan memberi cadangan untuk penyelesaian AI yang boleh menyelesaikan masalah-masalah dalam bidang keselamatan, bidang kesihatan dan juga pilihan bidang pengangkutan.
"Jadi itulah aspek yang kita beri fokus pada hari pertama dan mesyuarat-mesyuarat diadakan dan cukup meyakinkan kemudian hari seterusnya", katanya.
Beliau berkata demikian semasa Temu Bual Eksklusif bersama RTM pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos.
Selaku Kepengerusian ASEAN-Malaysia kali ini, sektor digital menjadi fokus utama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan infrastruktur berkenaan dapat dilaksana, sekali gus boleh dimanfaatkan seluruh negara anggota ASEAN.