fb fb fb fb fb

Kemalangan dua kenderaan, suami isteri maut, mangsa lain cedera

Foto hiasan

GERIK, 7 April- Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka dan lima mangsa lain cedera selepas kenderaan dipandu terlibat kemalangan di kilometer 51.3 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 12.20 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood dalam satu kenyataan berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun bersama-sama tiga penumpang dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun bersama lima penumpang.

"Mangsa dipercayai dari arah Gerik menghala ke Jeli manakala kereta MPV dari arah bertentangan.

"Setibanya di lokasi, kereta dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta MPV tersebut," katanya.

Akibat pelanggaran itu, pasangan suami isteri mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga anaknya termasuk seorang bayi dan mangsa lain hanya mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Gerik.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI