fb fb fb fb fb

Keluarga Malaysia dipelawa penuhi kekosongan jawatan sektor perhotelan - Nancy

(Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran pengiklanan badan pesawat (livery) serta kempen #GoJalanLah di Sky Park RAC Industrial Park Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor )

SHAH ALAM, 4 Jun - Keluarga Malaysia dipelawa memenuhi kekosongan jawatan dalam sektor perhotelan, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Meski sektor tersebut antara yang teruk terjejas sepanjang tempoh pandemik, namun prestasinya semakin meningkat setelah Malaysia kembali membuka sempadan serta mempromosikan pelancongan domestik.

Bagaimanapun jelas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, cabaran yang dihadapi pengusaha hotel ketika ini adalah kekurangan tenaga kerja.

Malah, terdapat kebimbangan dalam kalangan bekas pekerja untuk kembali berkhidmat kerana tidak yakin terhadap kestabilan dan kelangsungan sektor berkenaan.


(Foto fail)

"Sekarang sebenarnya kita memerlukan lebih ramai pekerja dan kita membantu sektor-sektor pelancongan ini dari segi hotel, spa, semua itu, kita cuba membantu untuk memastikan mereka mendapat pekerja-pekerja bukan sahaja dari dalam negara tetapi luar negara juga, kerana keadaannya amat memerlukan, bila ianya amat memerlukan, itu bermakna keadaan industri pelancongan kita dalam negara kita bagus, sangat terjamin," kata beliau ketika ditemui media selepas majlis pelancaran pengiklanan badan pesawat (livery) serta kempen #GoJalanLah di Sky Park RAC Industrial Park Bukit Jelutong, di sini hari ini.

Menurut Nancy, industri pelancongan antara sektor yang berupaya pulih serta berkembang dengan cepat, khususnya perhotelan.

Namun, hasilnya bergantung kepada sejauh mana pihak industri menyediakan aktiviti, kemudahan serta pakej yang menarik kepada pelanggan.

Media Baharu