
LABUAN, 4 Mac – Kelancaran peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Malaysian University English Test (MUET) 2025 di Labuan, bukti komitmen kolektif semua pihak terlibat.
- Kelancaran peperiksaan SPM, STPM dan MUET 2025 menunjukkan komitmen kolektif semua pihak di Labuan.
- Kerjasama agensi pelbagai seperti PDRM, TUDM, Pos Malaysia dan hospital menyokong keseluruhan operasi peperiksaan.
- Labuan melunaskan pembayaran penuh RM129,453.86 kepada petugas SPM, menandakan pengurusan kewangan cekap.
Ia selaras dengan Teras Strategik Lima Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 iaitu “Mempergiat Sinergi Antara Institusi Pendidikan KPM dengan Pihak Berkepentingan”.
Pengarah Pendidikan Labuan Yahya Ahmad Puteh berkata, kerjasama semua pihak menjadi faktor utama kelancaran keseluruhan rantaian operasi, bermula daripada pendaftaran calon sehingga penghantaran semula skrip jawapan.
“Pengurusan peperiksaan melibatkan kerjasama CGSO Labuan, PDRM, TUDM, Pos Malaysia, Labuan Airport, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Hospital Labuan, Jabatan Meteorologi, syarikat pengangkutan, Jabatan Penyiaran serta Media See Hwa”, katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas Peperiksaan Awam 2025, di sini.
Katanya, seramai 317 petugas dilantik bagi mengendalikan STPM melibatkan lima sesi, MUET tiga sesi serta SPM yang merangkumi ujian amali, bertutur, mendengar dan bertulis.
Dalam pada itu, pembayaran petugas SPM berjumlah RM129,453.86 telah diselesaikan sepenuhnya pada 12 Februari lalu, sekali gus menjadikan Labuan negeri pertama melunaskan bayaran penuh kepada semua petugas di bawah Lembaga Peperiksaan.