fb fb fb fb fb

Kejayaan peralihan ke fasa endemik, turut dibantu kempen COVID-19 RTM- Zahidi

KUALA LUMPUR, 19 Mei- Kejayaan melawan pandemik COVID-19 di negara ini sehingga memasuki ke fasa endemik turut disumbang menerusi keberkesanan kempen yang disiarkan melalui pelbagai platform Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kempen yang dilaksanakan itu turut menyaksikan rakyat dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa tanpa perlu lagi berasa bimbang.

"Sekarang ini COVID kita berjaya menunjukkan kempen RTM ini berjaya kerana kempen di RTM, kementerian, kita menjalankan kempen yang cukup agresif. Saya ucapkan tahniah kepada semua warga RTM," katanya.

Zahidi berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Penyiaran di Angkasapuri.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri itu diraikan dengan 24 gerai yang menyajikan pelbagai juadah tradisional.

Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Datuk Saidatu Akhma Hassan berkata majlis yang melibatkan keluarga besar RTM itu diadakan bagi menghargai jasa dan penghorbanan petugas RTM khususnya yang bertugas ketika penularan pandemik COVID-19.

"Kita dah lebih dua tahun tak dapat raikan Hari Raya dalam keadaan seperti dahulu. Sambutan hari ini sambutan yang sangat ditunggu-tunggu oleh RTM, jadi semua warga memberikan kerjasama yang baik untuk menampilkan kelainan dan saya lihat banyak keunikan melalui gerai-gerai dan persembahan," katanya.


(Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Datuk Saidatu Akhma Hassan)

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Setiausaha K-KOM Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Penyiaran, Dato Che Roslan Che Daud.

Media Baharu