fb fb fb fb fb

KEDA perkukuh hubungan dengan pemimpin tempatan demi pembangunan luar bandar

FOTO Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)

KULIM, 16 Mac- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) perlu memastikan adanya hubungan baik dengan pemimpin masyarakat tempatan dalam melaksanakan usahanya untuk membangunkan sosioekonomi dan modal insan masyarakat luar bandar.

Pengerusi GiatMara Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Muhar Hussain berkata, ia penting bagi memastikan pembangunan yang strategik dapat dilaksanakan dan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan serta memenuhi syarat.

Beliau berkata, pendekatan yang diambil KEDA selama ini iaitu berbincang dan menjaga hubungan baik dengan pemimpin masyarakat tempatan perlu diteruskan agar bantuan yang akan disalurkan, tepat kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan menepati syarat permohonan.

“Malah dengan melibatkan pemimpin tempatan, masyarakat dapat digerakkan untuk menjayakan aktiviti sosial yang dianjurkan KEDA atau agensi kerajaan yang lain,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 di pekarangan Surau At-Taqwa, Desa KEDA Dingin, Mahang, Kulim.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi KEDA, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Pada majlis itu, sebanyak 30 bakul makanan turut disumbangkan kepada penerima terpilih terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan dalam kalangan penduduk Desa KEDA Dingin dan Kampung Dingin yang terletak bersebelahan dengan Desa KEDA berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE