fb fb fb fb fb

Kechor Cubcross Challenge elak aktiviti tidak berfaedah golongan muda

KANGAR, 1 Februari - Bagi melahirkan jaguh permotoran negara pada masa hadapan, Pemuda Kariah Masjid Nurul Hamim, Kampung Kechor buat julung kalinya menganjurkan Kechor Cubcross Challenge Tertutup Perlis 2022.

Pengerusi Alternative Rider Club (ARC) Perlis, Mohd Azizi Syam Samsudin berkata inisiatif penganjuran program tersebut merupakan satu pendekatan dalam mengetengahkan bakat dalam kalangan generasi muda di samping mengelakkan aktiviti tidak berfaedah seperti lumba haram.

Katanya, walaupun ianya julung kali diadakan, sokongan serta kerjasama daripada golongan muda serta masyarakat setempat akhirnya dapat direalisasikan dengan mewujudkan satu litar perlumbaan di kawasan kampung.

"Program ini adalah program masyarakat setempat iaitu komuniti belia di kampung ini sendiri. Bagi pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung mahupun dari segi kewangan ataupun daripada segi tenaga.

"Saya difahamkan penyediaan untuk membina trek ini melangkaui RM5000 dan para belia di sini bertungkus lumus siang dan malam untuk memastikan kelancaran program," katanya di sini.

Seramai 100 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran itu yang diadakan di Litar Cubcross Kampung Kechor, Bintong.

Tambahnya, lebih banyak litar sebegitu perlu diwujudkan sekurang-kurangnya satu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketika ini hanya terdapat satu litar rasmi yang digunakan untuk penganjuran bagi pertandingan motorcross dan juga cubcross iaitu di litar Motorcross Sungai Batu Pahat.

Media Baharu