fb fb fb fb fb

10 cedera bot pelancong dan bot nelayan bertembung

BESUT, 1 Februari - 10 termasuk dua kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun cedera selepas bot pelancong yang dinaiki mereka bertembung dengan bot nelayan.

Kejadian berlaku di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata bot pelancong berkenaan berlepas dari Jeti Pulau Perhentian pada pukul 2.30 petang.

"Bagaimanapun sejurus bot pelancong tiba di lokasi kejadian kira-kira satu jam kemudian bot yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot nelayan.

"Insiden itu telah menyebabkan dua daripadanya kritikal dan lapan separa kritikal manakala 21 yang lain terselamat.

"Semua mangsa yang cedera telah dirujuk ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambahnya, seramai 21 anggota penyelamat terdiri daripada Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam terlibat dalam operasi menyelamat mangsa.

Katanya, kes dirujuk kepada Jabatan Laut untuk tindakan mengikut Seksyen 474(1) dan 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 serta Kaedah 3(1) Peraturan Bot.

Media Baharu