KEMAMAN, 21 September - Kira-kira 20 pelajar dan guru sebuah pusat tahfiz, di sini akan dipindahkan susulan kejadian kebocoran paip gas di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di Seksyen 5, Kerteh semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, meskipun jarak lokasi kejadian dengan pusat tahfiz itu agak jauh lebih dua kilometer, namun tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga demi memastikan keselamatan penghuni tahfiz tersebut.
Beliau berkata mereka dipindahkan lebih awal berikutan ianya boleh menyebabkan pencemaran udara sekali gus memberi kesan buruk.
Sementara itu, Mohd Razi berkata pihaknya mengarahkan orang awam supaya tidak mendekati kawasan kejadian atau cuba melihat lokasi dari jarak dekat kerana dikhuatiri terdedah kepada risiko pencemaran udara.
Sebarang pembakaran terbuka juga dilarang di sekitar kawasan berkenaan kerana ianya berisiko mendatangkan bahaya kepada orang awam.
Bagaimanapun, Mohd. Razi berkata orang ramai tidak perlu panik kerana situasi berada dalam keadaan terkawal.
Semalam, media melaporkan insiden kebocoran paip gas butana milik Petronas Gas Berhad (PGB) berlaku kira-kira pukul 9.53 pagi.