fb fb fb fb fb

Kebakaran Tawau: 286 orang dipindahkan ke PPS pagi ini

Foto Bomba

TAWAU, 7 Mac - Pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau dibuka bagi menempatkan 286 orang daripada 81 keluarga akibat kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond, setakat pukul 8.00 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sabah dalam kenyataan berkata satu lagi PPS telah dibuka iaitu Dewan OT Mohd Jantan Tanjung Batu Darat di sini, bagaimanapun setakat ini masih tiada mangsa dipindahkan.

"Dua PPS ini dibuka pada pukul 8.00 malam tadi, dan dijangka berlaku peningkatan mangsa yang akan dipindahkan," menurut kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan kira-kira 45 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond di sini, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang.

TETITIA YUSOFF