Kebakaran lalang di Nilai berjaya dikawal

Foto Bomba Negeri Sembilan

NILAI, 27 Mac – Kebakaran lalang seluas kira-kira dua ekar berhampiran bulatan menghala ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini petang tadi berjaya dikawal pihak bomba tanpa melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.31 petang; jentera BBP Nilai tiba kira-kira tiga minit kemudian.
  • Operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos salur bantu mula, dua aliran hos hantaran dan dua pancutan, sumber air pam jentera dan tangki.
  • Pemadaman tertumpu di kawasan tangki air atas bukit serta tepi jalan hingga ke tebing bukit bagi mengelakkan merebak.
  • Operasi dikawal sepenuhnya pada pukul 6.06 petang dan ditamatkan pada pukul 6.50 petang; tujuh anggota, dua jentera (FRT dan tangki air).

Komander Operasi PBK II (TBKI) Mahadzir Sulaiman dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.31 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan kawasan lalang dengan keluasan anggaran dua ekar.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos salur bantu mula dan dua aliran hos hantaran dengan dua pancutan, melibatkan sumber air daripada pam jentera serta bantuan tangki air,” menurut kenyataan itu.

Pemadaman tertumpu di kawasan tangki air di atas bukit serta kawasan tepi jalan hingga ke tebing bukit bagi mengelakkan api merebak.

Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 6.06 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.50 petang.

Seramai tujuh anggota terlibat dalam operasi tersebut termasuk seorang pegawai, dengan kekuatan dua jentera iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah tangki air.