
KOTA TINGGI, 25 Mac– Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan lima anak kapal warga Thailand dalam satu operasi pemindahan perubatan selepas kapal kargo yang mereka naiki mengalami kebakaran di bahagian rumah masak pada pagi semalam.
- Kebakaran dilaporkan sekitar pukul 10.20 pagi pada kedudukan kira-kira 30 batu nautika timur Tanjung Sedili.
- Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya oleh anak kapal sebelum bantuan tiba.
- Pengarah Zon memaklumkan bot PERKASA 30 digerakkan ke lokasi untuk melaksanakan operasi menyelamat.
- Beberapa anak kapal mengalami kecederaan melecur, sebahagian serius, dibawa ke daratan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 10.20 pagi di kedudukan kira-kira 30 batu nautika timurTanjung Sedili.
Kebakaran tersebut bagaimanapun berjaya dikawal sepenuhnya oleh anak kapal sebelum bantuan tiba.
Maklumat kecemasan kemudiannya diterima oleh Pusat Sub-Koordinasi Menyelamat Maritim Johor Bahru pada pukul 12.20 tengah hari.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam menerusi kenyataan memaklumkan sejurus menerima laporan, pihaknya segera menggerakkan bot PERKASA 30 kelokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat.
“Kesemua lima kru lelaki berusia antara 25 hingga 61 tahun itu mengalami kecederaan melecur dengan sebahagian daripadanya dikategorikan sebagai serius.
“Maritim Malaysia telah menjalankan penilaian awal di lokasi sebelum melaksanakan operasi bagi membawa kesemua mangsa ke daratan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujar beliau.
Tambahnya, Maritim Malaysia akan terus komited dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara serta memberi bantuan segera kepada komuniti maritim yang memerlukan.