
KUCHING, 29 Mac – Operasi pemadaman kebakaran hutan di tiga lokasi di bahagian tengah Sarawak menunjukkan perkembangan positif hasil tindakan bersepadu pasukan udara dan darat.
- Pasukan udara melakukan water bombing dengan kira-kira 40,000 liter, fokus kawal perimeter; pemisah kebakaran bantu kawal kebakaran di Daro.
- Kebakaran tanah gambut di Kuala Tatau Serupai berada dalam keadaan terkawal selepas operasi pam, pancutan air dan pemisah parit yang besar.
- Kebakaran belukar di Sibu ditumpu pada pemisah kebakaran dan pemadaman langsung; kawasan 16.4 hektar berjaya dipadam selepas hujan lebat.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan operasi memadam kebakaran belukar di Kampung Penasuh di Daro, Mukah melibatkan sebuah helikopter Mi-171 bersama 12 anggota yang digerakkan dari Pangkalan Udara Wilayah Sarawak di Miri pada pukul 9.30 pagi tadi.
“Pasukan udara telah melakukan operasi water bombing selama satu jam 30 minit dengan pelepasan air berjumlah kira-kira 40,000 liter, yang diperoleh dari Sungai Hulu Seredang.
“Operasi tersebut memberi tumpuan kepada kawasan perimeter kebakaran bagi mengawal api merebak. Penilaian risiko melalui pemantauan udara mendapati kebakaran berjaya dikawal, dibantu oleh kewujudan pemisah kebakaran (firebreak) di sekeliling kawasan terjejas,” menurut kenyataan itu.
Pusat gerakan tersebut turut memaklumkan pemadaman kebakaran tanah gambut di Kuala Tatau Serupai di Tatau, Bintulu, yang memasuki hari ketujuh turut berada dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu unit pam jenis GP 10/10 dengan satu aliran sepanjang 200 kaki serta dua pancutan air ke kawasan hutan terjejas.
“Pasukan di lapangan turut membuat persediaan rapi dengan kelengkapan pemadaman manakala pemantauan bersama pihak pengurusan ladang mendapati keseluruhan kawasan kebakaran berada dalam keadaan terkawal.
“Lokasi kebakaran terletak kira-kira empat kilometer dari pos kawalan bomba (PKB) dan turut dilengkapi pemisah kebakaran perparitan yang besar bagi menghalang api daripada terus merebak. Selain itu, pemantauan unit udara turut mengesahkan kebakaran semakin reda dan terkawal,” katanya.
Sementara itu, usaha pemadaman kebakaran belukar di Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu yang memasuki hari ketiga tertumpu kepada kerja pemisah kebakaran dan pemadaman secara langsung di tiga sektor utama.
Namun, keseluruhan kawasan kebakaran di Sibu yang dianggarkan seluas 16.4 hektar dengan peningkatan kecil kira-kira 0.4 hektar direkodkan hari ini, berjaya dipadam pada pukul 4 petang susulan hujan lebat.