Kebajikan anggota keselamatan jadi fokus kerajaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kakitangan Kementerian Dalam Negeri /BERNAMA

PUTRAJAYA, 19 Februari Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha menambah baik kuarters tentera dan polis yang uzur bagi memastikan kebajikan anggota keselamatan sentiasa terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan utamakan baik pulih kuarters tentera dan polis untuk menjaga kebajikan anggota keselamatan.
  • Projek pembaikan dirancang dan peruntukan sedia ada akan diteruskan.
  • Pembangunan negara memerlukan kerjasama semua pihak, bukan tanggungjawab satu pihak sahaja.
  • Penghargaan kepada agensi penguatkuasaan disertai peringatan supaya terus menilai dan tingkatkan prestasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa projek baik pulih sedang dirancang, termasuk meneruskan peruntukan yang telah disalurkan sebelum ini.

“Perumahan polis kita dah ambil tindakan sepertinya tentera, jadi kita akan lebih fokus. Tahun-tahun lalu RM1 bilion diberi kepada kuarters tentera dan polis untuk baik pulih rumah yang sangat uzur.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri dan Ihya’ Ramadan di Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab membangunkan negara bukan terletak pada satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat.

Katanya, perubahan dalam bidang pendidikan, kecerdasan buatan (AI) serta reformasi lain memerlukan komitmen berterusan dan peruntukan tambahan bagi memastikan pelaksanaannya berkesan.

Selain itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi penguatkuasaan lain atas kecekapan dan dedikasi mereka dalam menjaga keselamatan negara.

Namun, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak leka dan terus menilai prestasi diri bagi memastikan mutu perkhidmatan sentiasa dipertingkatkan