KUALA LUMPUR, 5 Mei- Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersama-sama pemain industri pertahanan bakal memeterai perjanjian persefahaman (MoU) melibatkan nilai RM8.1 bilion.
Ini menerusi Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) Asia) 2024.
MoU itu bagi memastikan sistem serta aset keselamatan dan pertahanan negara berada dalam keadaan terbaik dan relevan dengan cabaran global ketika ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata 14 kontrak dan MoU melibatkan KDN akan ditandatangani sepanjang pameran DSA 2024 berlangsung.
"Kementerian melibatkan nilai lebih kurang rm2.1 bilion melibatkan 14 kesemuanya.
"Acara ini akan menjadi platform yang mempertemukan pemikir hebat dalam kalangan semua pemegang taruh dalam industri pertahanan. Di sini nanti akan berlaku padanan perniagaan, pertukaran idea dan mempelajari semua perkara yang terkait dengan penemuan penemuan inovasi baru," katanya dalam sidang media selepas meninjau persiapan DSA 2024, di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di ibu negara.
Dalam pada itu KDN sedang merangka strategi bagi meningkatkan penggunaan teknologi terutamanya melibatkan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh kawalan sempadan negara.
Ketika ini agensi tunggal yang menyelia kawalan sempadan adalah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), maka penekanan khusus terhadap penggunaan teknologi terkini melibatkan AI perlu diadaptasi bagi memperkukuh lagi tadbir urus dan fungsinya.
“Sekarang kita dah ada (MCBA), jadi bagaimana kita nak manfaatkan teknologi dan inovasi dalam bidang kawalan sempadan? Oleh kerana itu, KDN sangat teruja untuk melihat aspek sekuriti ini semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024," katanya.