fb fb fb fb fb

KBS tidak kompromi mana-mana jurulatih, atlet terlibat jenayah dan dadah

IPOH, 26 April - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan berkompromi dengan mana-mana jurulatih atau atlet sekiranya didapati terlibat dalam kegiatan jenayah atau menyalahi undang-undang negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa pihak polis segera menjalankan siasatan berhubung seorang jurulatih renang yang ditahan kerana disyaki mendalangi sindiket penyeludupan dan pengedaran syabu, dalam serbuan di Selangor dan Johor pada 22 dan 23 April lepas dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat.

Jelas beliau pihaknya mengecam tindakan atlet atau jurulatih yang terlibat kerana golongan tersebut sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat.

"Kita tidak berkompromi langsung dengan apa-apa tindakan yang menyalahi undang-undang negara malah, kita kecam dan kita nak semua rakyat terutama golongan belia golongan atlet dan mereka yang ada kedudukan yang dekat sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat untuk tidak melakukan apa juga perkara yang menyalahi undang-undang negara, "katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini.

Beliau berkata tindakan menggantung atau memberhentikan perkhidmatan mereka daripada terus memegang jawatan juga akan dikenakan sekiranya didapati bersalah setelah didakwa di mahkamah.

Katanya KBS mengecam individu yang menyalahi undang-undang negara dan menasihatkan golongan belia khususnya para atlet supaya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat demi kepentingan rakyat.


(Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada majlis berbuka puasa bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini)

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis berjaya menahan empat lelaki termasuk seorang jurulatih renang yang disyaki menjadi dalang kepada sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah.

Dalam serbuan yang dijalankan di Selangor dan Johor itu, polis berjaya merampas 287 kilogram syabu yang bernilai kira-kira RM10.3 juta.

Ayob Khan berkata kesemua mereka yang berumur 25 hingga 29 tahun itu ditahan dalam empat serbuan dengan dua daripadanya ditahan di kediaman masing-masing di Puchong, Selangor manakala dua lagi di sekitar Johor Bahru.

Media Baharu