Karnival Pendidikan MARA 2026 perkasa akses pendidikan generasi muda

FOTO FB Karnival Pendidikan MARA

KANGAR, 4 April – Peluang pendidikan dan pembangunan bakat generasi masa depan terus diperkasa menerusi penganjuran Karnival Pendidikan MARA 2026 yang akan menjelajah ke seluruh negara bermula April hingga Mei ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Karnival Zon Utara berlangsung dua hari di Kangar Jaya Mall, Aman Central dan Mydin Bukit Mertajam.
  • Platform kepada pelajar dan ibu bapa untuk mendapat maklumat program pengajian, latihan kemahiran, pembiayaan dan kemudahan MARA serta berinteraksi dengan wakil institusi.
  • Inisiatif mengukuhkan kerjasama antara institusi pendidikan, industri dan komuniti bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Bagi Zon Utara, karnival berkenaan berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok, melibatkan tiga lokasi iaitu Kangar Jaya Mall di Perlis, Aman Central di Alor Setar, Kedah serta Mydin Bukit Mertajam di Pulau Pinang.

Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Norwawi Ibrahim berkata, penganjuran karnival itu menjadi platform penting khususnya kepada pelajar dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat secara terus berkaitan pelbagai laluan pendidikan serta latihan kemahiran yang ditawarkan oleh Institusi Pendidikan MARA (IPMA).

“Karnival ini membuka ruang kepada orang ramai untuk mengenali dengan lebih dekat peluang pendidikan dan latihan kemahiran yang disediakan MARA, sekali gus membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat mengenai masa depan,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan turut berperanan mengukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi swasta, pihak industri dan komuniti.

“Ia bukan sahaja memudahkan akses maklumat, malah memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, industri dan masyarakat dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti,” katanya lagi.

Antara institusi terlibat termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), German-Malaysian Institute (GMI), Institut Kemahiran MARA (IKM) serta GIATMARA.

Melalui karnival itu, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai program pengajian dan latihan kemahiran, mengetahui peluang pembiayaan serta kemudahan pendidikan MARA, selain berinteraksi secara langsung dengan wakil institusi dan pakar pendidikan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Pendidikan MARA 2026 Peringkat Negeri Perlis di Kangar Jaya Mall.

Kira-kira 3,000 pengunjung disasarkan hadir memeriahkan karnival tersebut yang turut diisi dengan pelbagai pengisian termasuk taklimat daripada PERKESO, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) menerusi program Malaysia Future Leaders School (MFLS).