Karnival Kebudayaan MADANI eratkan ukhuwah pemimpin dan masyarakat

FOTO BERNAMA

PERMATANG PAUH, 24 Januari – Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 yang berlangsung di Permatang Pauh hari ini, menjadi platform penting dalam merapatkan ukhuwah antara pemimpin serta masyarakat setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Karnival mempererat ukhuwah antara pemimpin dan masyarakat setempat melalui kehadiran pemimpin tertinggi.
  • Acara mempamerkan inisiatif kerajaan seperti projek MRT dan Jualan RAHMAH MADANI.
  • Pelbagai aktiviti pameran dan bantuan komuniti memberi pendedahan serta memperkasa sosioekonomi penduduk.
  • Kehadiran gerai kecil dan kolaborasi pelbagai pihak menunjukkan sokongan kuat dari komuniti Pulau Pinang.

Penganjuran karnival tahun kedua ini bukan sahaja mempamerkan pelbagai inisiatif kerajaan, malah menyuntik semangat buat penduduk sekitar menerusi pelbagai aktiviti pameran serta bantuan komuniti.

Antaranya termasuk pameran kerjaya oleh Malaysian Rapid Transit (MRT) Corporation Sdn. Bhd, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma, serta pemberian bantuan pendidikan oleh Bank Rakyat yang dilihat mampu memperkasa sosioekonomi penduduk.

Rata-rata penduduk Permatang Pauh menyifatkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai simbolik “sirih pulang ke ganggang”.

“Bagi kami di Permatang Pasir, di Permatang Pauh ini seolah-olah “sirih pulang ke ganggang”. Terima kasih PMX (Perdana Menteri). Jika ada apa-apa program, datanglah lagi, insya-Allah kami akan kendalikan,” kata penghulu kawasan Permatan Pasir, Hafizi Mohamad.

Selain kemeriahan kenduri rakyat, pengisian karnival turut memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai progres pembangunan negara termasuk projek MRT dan Jualan RAHMAH MADANI.

“Kita dapat mengetahui usaha kerajaan untuk rakyat. Jadi, bagaimana Kerajaan MADANI melaksanakan projek MRT dan menyediakan Jualan RAHMAH MADANI kepada rakyat. Kita dapat melihat pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan untuk rakyat, dan dalam masa yang sama, kita juga dapat mengetahui perkembangan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan,” kata pengunjung, Dani Firdaus Shah Kumar Shah Azhar.

“Macam mana cara Perdana Menteri ataupun jawatan-jawatan tertinggi datang untuk mendekatkan, ataupun merapatkan ukhuwah antara masyarakat dan juga dengan kerajaan. Saya melihat di sini macam mana kita tengok kolaboratif daripada pelbagai pihak. Kita boleh nampak macam mana gerai-gerai kecil datang ke sini dan disambut dengan meriah. Kita melihat ada sokongan daripada masyarakat setempat Pulau Pinang ini, sangat-sangat mengujakan. Saya memang rasa ini satu program yang menggalakkan dan sewajarnya untuk kita laksanakan pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri telah merasmikan Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Permatang Pauh, hari ini.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan