JEMPOL, 4 Ogos - Pelumba rali berpengalaman negara, Karamjit Singh, membuka tirai musim Kejuaraan Rali Malaysia MAM 2025 dengan kemenangan bergaya apabila meraih kedudukan pertama keseluruhan dalam kategori Terbuka yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lepas di Jempol, Negeri Sembilan.
Karamjit, 63 tahun bergandingan dengan pemandu arah Daveender Singh, mempertaruhkan jentera Proton Gen2 bagi menghadapi saingan kompetitif daripada jentera lumba berprestasi tinggi lain.
Gandingan itu mencatat masa keseluruhan terpantas iaitu 01:06:14, sekali gus membuktikan kemampuan teknikal dan ketahanan mereka di laluan mencabar di ladang sawit FELDA Raja Alias dan FELDA Serting Hilir.
“Perlumbaan pembuka musim ini bukan sesuatu yang mudah. Laluan di Jempol menuntut ketelitian dan ketahanan tinggi daripada setiap pelumba. Namun, ia adalah satu permulaan yang positif bagi kami, dan saya mengucapkan penghargaan kepada pihak penganjur serta semua pihak yang menjayakan perlumbaan ini,” ujar Karamjit.
Tempat kedua diraih oleh Sutan Mustaffa Salihin bersama Kamarul Anuar Mohd Razzali yang memandu jentera Subaru Impreza WRX dengan catatan masa 01:08:54.
Tempat ketiga pula milik gandingan Saladin Mazlan dan Arish Qutb Ahmad Khan yang bertanding dengan jentera Mini Austin.
Keseluruhan perlumbaan menyaksikan sebanyak 12 kategori dipertandingkan, menjadikan Kejuaraan Rali Malaysia MAM 2025 sebagai platform penting bagi pelumba tempatan dan antarabangsa untuk mengasah kemahiran dalam suasana perlumbaan sebenar.
Kejohanan tersebut dianjurkan Millennium Motorsports Adventures Club (MMAC) buat tahun kedua berturut-turut, dengan sokongan daripada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) sebagai badan pemegang taruh rasmi.
Siri kejohanan akan diteruskan dengan tiga lagi perlumbaan sepanjang tahun ini, termasuk destinasi seterusnya di Sepang Bay 13, Litar Antarabangsa Sepang, sempena penganjuran MAM Malaysia Festival of Speed (MFOS) yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 17 Ogos.