KOTA TINGGI, 25 Ogos - 39 kru Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengalami detik cemas apabila kapal KD Pendekar mengalami kebocoran dan dimasuki air di kedudukan dua batu nautika tenggara Tanjung Penyusop, Kota Tinggi, Johor, pada pukul 12 tengah hari tadi.
TLDM memaklumkan, kebocoran berlaku selepas kapal dipercayai berlanggar dengan objek di dalam air semasa menjalankan operasi.
"Kebocoran mula dikesan di Bilik Jentera KD Pendekar, sebelum air mula memasuki ruangan lain sehingga tidak terkawal. Kru kapal telah berusaha untuk mengawal kebocoran dan menstabilkan kapal, namun usaha tersebut tidak berjaya," menurut TLDM menerusi kenyataan.
Semua kru berjaya diselamatkan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada berhampiran lokasi.
"Satu operasi salvaj akan dilaksanakan untuk menyelamatkan KD Pendekar. TLDM juga akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan segera untuk mengenal pasti punca kejadian," tambah TLDM.