MELAKA, 16 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dalam kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka Mohd Shahrom Laji berkata, mangsa Muhammad Afizul Hakim Alias, anak keempat daripada lima beradik, ditemukan terbaring dalam bilik di tingkat enam PPR berkenaan.
"Pada siasatan awal, ibu mangsa ada menyatakan anaknya bermain pemetik api. Kita masih menjalankan siasatan, dan pasukan pasukan K9 (unit anjing pengesan) JBPM dipanggil untuk membuat siasatan menyeluruh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi insiden itu.
Katanya, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheng serta Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.24 petang.
Punca kejadian masih dalam siasatan.