fb fb fb fb fb

Kanada diharap pertimbang semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harap Kanada pertimbang pengecualian visa - Foto / Bernama

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan harapan kepada rakan sejawatnya dari Kanada, Mark Carney untuk mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia.

"Ia adalah selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain demi memperkukuh hubungan antara rakyat dan memperluas pertukaran pelbagai hala," katanya dalam hantaran di platform X hari ini.

Datuk Seri Anwar ketika ini sedang mengadakan lawatan rasmi ke Paris, Perancis, menghubungi Perdana Menteri Kanada, Mark Carney untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Kanada baru-baru ini.

Ketika ini, rakyat Malaysia memerlukan visa untuk masuk ke Kanada bagi tujuan melancong, belajar atau bekerja.

Bagaimanapun, proses untuk permohonan visa berkenaan mengambil masa yang lama dan rumit.

Yuran visa Kanada untuk warganegara Malaysia termasuk yuran kepada kerajaan Kanada, yuran biometrik serta sokongan atau perkhidmatan lanjut daripada VFS Global.

VFS Global merupakan pentadbir pihak ketiga dilantik untuk visa Kanada di Malaysia.-BERNAMA

ASHRIQ FAHMY AHMAD