‘Kami tak sempat selamatkan harta benda’

Rumah dua tingkat musnah terbakar/Foto RTM Terengganu

KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Sebuah rumah sewa dua tingkat di Kampung Ladang Saha musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran lewat petang tadi, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rumah sewa dua tingkat musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran, tiada kecederaan dilaporkan.
  • Api cepat merebak disebabkan struktur kayu lama, dikawal sepenuhnya dalam kira-kira 20 minit.
  • Pemilik tidak sempat selamatkan harta; punca kebakaran masih dalam siasatan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, TPgB II Thoyyibah Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.33 petang sebelum jentera dari Balai Bomba Kuala Terengganu dan Balai Bomba Jalan Kota digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran melibatkan struktur rumah jenis kayu lama yang menyebabkan api cepat merebak, namun berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 20 minit.

“Kebakaran agak besar ketika pasukan tiba di lokasi dan faktor binaan rumah kayu menyumbang kepada kelajuan api merebak,” katanya.

Bomba sedang memadam kebakaran di rumah terbabit/Foto RTM Razif

Dalam kejadian itu, hampir keseluruhan tingkat atas kediaman berkenaan terbakar selain memusnahkan dua buah motosikal dan sebuah van.

Sementara itu, mangsa, Ahmad Syukri Mat Riffin, 40, berkata dia menyedari kejadian selepas jiran memaklumkan rumahnya terbakar sebelum sempat menyelamatkan harta benda.

Katanya, dia bersyukur kerana semua ahli keluarga berjaya keluar dengan selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.