Kadar transisi murid Orang Asli Tahun 6 ke Tingkatan 1 meningkat

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh/Foto BERNAMA 

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Pendidikan melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan inklusif untuk murid Orang Asli di kawasan pedalaman.
  • 26 Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan sembilan K11 beroperasi untuk mengurangkan keciciran murid Orang Asli.
  • Program Sekolah Komprehensif membolehkan murid mengikuti pendidikan dari peringkat rendah hingga menengah di sekolah yang sama.
  • Guru di sekolah Orang Asli menerima latihan pedagogi mesra budaya, pembelajaran berasaskan komuniti dan sokongan psikososial.

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Kadar transisi murid Orang Asli daripada Tahun 6 ke Tingkatan 1 meningkat kepada 94.02 peratus pada tahun 2025 berbanding 89 peratus pada 2023.

Ia hasil pelaksanaan beberapa inisiatif pendidikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata ketika ini, sebanyak 26 Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) dan sembilan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) telah beroperasi di seluruh negara bagi membantu mengurangkan keciciran dalam kalangan murid Orang Asli.

“Kementerian Pendidikan komited memastikan semua murid termasuk murid daripada komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan inklusif.”

“KPM turut melaksanakan pendekatan yang menyeluruh termasuk pelaksanaan Program Sekolah Komprehensif 9 dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 yang membolehkan murid mengikuti pendidikan dari peringkat rendah hingga menengah di sekolah yang sama serta membantu mengurangkan kadar keciciran”.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara Shahrol Wizan Sulong di parlimen.

Jelasnya lagi, seramai 1,898 guru kini bertugas di sekolah-sekolah Orang Asli seluruh negara.

Guru-guru terbabit turut menerima latihan pedagogi mesra budaya, pembelajaran berasaskan komuniti, serta sokongan psikososial bagi menyesuaikan kaedah pengajaran dengan latar belakang murid.

Selain itu, KPM turut melaksanakan Program Khas Pendidikan Manusiawi (ProKhas) di kawasan pedalaman menggunakan premis komuniti setempat bagi memastikan murid terus mendapat akses pendidikan.