KUALA LUMPUR, 24 Julai - Kabinet meluluskan penubuhan Jawatankuasa Khas Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bagi menyelaras pelaksanaan SDG di antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, jawatankuasa itu juga akan dipengerusikannya.
"Justeru, saya memerlukan sokongan rakan-rakan (Ahli Parlimen) semua untuk memberi tumpuan khas (berkenaan perkara ini).
“Insya-Allah saya akan menjalinkan kerjasama dengan semua pihak untuk memartabatkannya, sekali gus membantu rakyat,” katanya dalam ucapan pelancaran Laporan Tahunan 2024 Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-SDG (APPGM-SDG) di bangunan Parlimen, hari ini.
Datuk Seri Fadillah Yusof (duduk tiga kanan) ketika pelancaran Laporan Tahunan 2024 APPGM-SDG di bangunan Parlimen, hari ini - Foto FB Fadillah Yusof
Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu dilihat sebagai langkah penting untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar berkaitan pembangunan lestari di peringkat akar umbi secara lebih sistematik dan menyeluruh.
Datuk Seri Fadillah turut menyatakan penghargaan terhadap usaha APPGM-SDG yang bukan sahaja berjaya melaksanakan lebih 1,300 projek mikro-SDG sejak 2020, malah telah melibatkan 115 kawasan Parlimen melalui pendekatan pemetaan isu dan pelaksanaan berteraskan komuniti.
"Saya dimaklumkan bahawa sehingga 2024, sebanyak 115 kawasan Parlimen di seluruh Malaysia telah terlibat dalam proses pemetaan isu, penggubalan pelan tindakan dan pelaksanaan projek-projek komuniti berteraskan SDG.
"Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan membuka ruang kepada pembudayaan SDG di peringkat akar umbi secara lebih meluas dan sistematik," katanya.