fb fb fb fb fb

Kabinet setuju perjawatan tetap tidak berpencen - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid

BANGI, 24 Januari- Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Penjelasannya berkenaan perkara itu akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Namun ia tidak menjejaskan status berpencen penjawat awam sedia ada sementara penjawat awam baharu itu mencarum menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Pada 2040 jumlah pencen yang patut ditanggung oleh kerajaan sekiranya tidak ada sistem baharu ini berjumlah RM120 bilion dan tentunya ini akan memberi bebanan dalam jangka panjang kepada kerajaan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan berkata pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam merupakan langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap ke arah mengukuhkan sistem saraan perkhidmatan awam.

Bagaimanapun inisiatif itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan, selain dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam jangka masa panjang.

Ahmad Zahid berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI