PUTRAJAYA, 5 Disember - Pembentukan Kabinet Perpaduan Sabah yang baharu mencerminkan kematangan politik, kesepaduan serta komitmen untuk meneruskan agenda pembangunan Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas pembentukan barisan Kabinet yang diyakini mampu memperkukuh tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Sabah.
"Kerjasama erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan amat penting dalam menangani pelbagai isu strategik termasuk pembangunan infrastruktur, penyampaian perkhidmatan, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhan.
"Kesepaduan dan kejituan Kabinet baharu ini diyakini akan memperkukuh lagi hubungan antara keduadua peringkat kerajaan dalam memastikan aspirasi rakyat Sabah dapat dicapai dengan lebih berkesan," katanya.
Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan Setiausaha Akhbar Kanan, Tunku Nashrul Abaidah di sini, hari ini.
Perdana Menteri akan berada di Sabah pada Sabtu bagi menghadiri Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC).
Selain mengambil peluang untuk bertemu dengan rakyat Sabah, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah dan barisan Menteri Kabinet Sabah yang baharu.