Kabel dicuri, perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya terjejas

Kabel bekalan kuasa yang telah dipotong berhampiran Stesen Damansara Damai / FOTO RAPID RAIL SDN BHD

PETALING JAYA, 3 Mac Rapid Rail Sdn Bhd. sedang giat menjalankan kerja baik pulih bekalan kuasa di transit aliran masa (MRT) laluan Putrajaya susulan kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Damansara Damai yang dikesan awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rapid Rail menjalankan kerja baik pulih bekalan kuasa selepas kecurian kabel berhampiran Stesen Damansara Damai.
  • Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya terganggu dan dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh tiga hari.
  • Perkhidmatan tren alternatif, bas perantara percuma dan arahan petugas disediakan untuk membantu penumpang.

Dalam satu kenyataan, Rapid Rail memaklumkan kejadian itu telah menyebabkan gangguan perkhidmatan dan memerlukan pembaikan menyeluruh bagi memastikan sistem kembali beroperasi dengan selamat serta stabil.

Menurut Rapid Rail, perkhidmatan tersebut dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh tiga hari.

Sepanjang tempoh berkenaan, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma disediakan untuk membantu penumpang meneruskan perjalanan.

“Penumpang juga disaran menggunakan laluan rel alternatif bagi memudahkan pergerakan,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut memohon kerjasama penumpang agar mematuhi arahan petugas di stesen demi kelancaran pergerakan dan keselamatan bersama.

Maklumat terkini mengenai status perkhidmatan akan dikemas kini menerusi saluran media sosial Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE.