fb fb fb fb fb

K'jaan laksana dasar pelaburan mengikut geografi, wilayah

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Kerajaan akan melaksanakan dasar perindustrian mengikut geografi iaitu pengkhususan aktiviti dan pelaburan mengikut wilayah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata beliau yakin dengan pelaksanaan dasar itu mampu mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah serta antara negeri maju dan kurang membangun.

"Ini supaya sejajar dengan kelebihan serta tahap pembangunan setiap wilayah.

"Misalnya, mengukuhkan pembangunan industri hiliran minyak dan gas di Sabah dan Terengganu atau meningkatkan aktiviti nilai tambah elektronik di Kulim dan Bayan Lepas," katanya dalam Majlis Pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara di sini hari ini.

Tambahnya, Lembah Klang akan terus dibangunkan supaya berdaya saing sebagai antara pusat bandar utama di Asia.

"Tumpuan akan terus diberikan untuk meningkatkan daya huni (liveability) Lembah Klang dan kemampanan bandar supaya mampu berperanan sebagai hab rantau ASEAN bagi syarikat terkemuka," tambahnya lagi.



Dalam pada itu, Anwar berkata sebahagian daripada pembaharuan Kuala Lumpur adalah untuk membangun semula Bangunan Sultan Abdul Samad dan persekitarannya selaras dengan Pelan Induk Strategik Daerah Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur supaya memanfaatkan warisan sejarahnya untuk mewujudkan tarikan pelancongan moden.

Anwar hari ini mengumumkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun.

Ekonomi MADANI ini juga sebagai wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Antaranya Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia, Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia serta peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jemaah menteri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

ARTIKEL BERKAITAN:
Insentif cukai kadar khas 15 peratus buat pekerja berpengetahuan di Iskandar Malaysia, Johor
Ekonomi Madani sasar jadikan Malaysia 30 ekonomi terbesar dunia
Penjawat awam bakal terima bantuan khas RM300
Ekonomi MADANI: Kerajaan tambah baik skim pinjaman rumah sehingga 120 peratus
RM800 juta tambahan infrastruktur bekalan air, elektrik di Kelantan dan Sabah

Media Baharu