SHAH ALAM, 20 November- Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim hari ini memaklumkan, wanita yang dilaporkan hilang di Seksyen 17 pada Jumaat lepas ditemukan selamat.
Beliau berkata wanita berkenaan, Junaida Abdul Rahim, 42 tahun disahkan berada di Kuantan, Pahang oleh ahli keluarganya kepada pihak polis lewat malam tadi.
“Hari ini (wanita) dia akan pulang ke Shah Alam untuk berjumpa pegawai penyiasat untuk diambil keterangan,” katanya.
Beliau berkata maklumat lanjut mengenai punca kehilangan dan pihak yang menemukan wanita itu hanya akan dapat dikongsikan selepas keterangan selesai direkodkan.
Semalam, polis meminta bantuan orang ramai mengesan wanita terbabit yang dilaporkan hilang sejak keluar dari rumah sewanya di Seksyen 17 untuk ke tempat kerja di Subang Jaya.
Kenderaan yang dipandu wanita itu ketika keluar rumah kemudiannya ditemukan di tepi jalan di Jalan Ampang.