fb fb fb fb fb

Jumlah penerima i-Suri 2024 meningkat 77%

Menteri Kewangan II, Datuk Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR, 13 Mac- Jumlah penerima insentif i-Suri mencatatkan peningkatan sebanyak 77 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Kewangan II, Datuk Amir Hamzah Azizan memaklumkan lonjakan itu melibatkan 75,196 ahli yang menerima insentif Kerajaan berjumlah RM11.4 juta di bawah skim i-Suri tahun lalu.

Skim i-Suri diperkenalkan secara sukarela bagi membantu isteri Ketua Isi Rumah (KIR) membina jaminan kewangan yang lebih kukuh untuk masa depan.

"Kumpulan sasaran i-Suri adalah golongan miskin tegar yang tersenarai dalam rekod e-Kasih. Sebagai sebahagian daripada usaha bantuan bersasar kepada mereka yang paling terkesan dengan kos sara hidup, Kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 bilion pada tahun 2025, berbanding RM10 bilion pada tahun 2024," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda di Dewan Negara.

Sementara itu, mengenai program i-Saraan, Datuk Amir turut memaklumkan jumlah caruman yang diterima tahun lalu meningkat kepada RM2.6 bilion, berbanding RM1.44 bilion pada tahun sebelumnya.

Program i-Saraan memberi tumpuan kepada golongan bekerja sendiri dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, sebagai persediaan untuk simpanan persaraan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE