fb fb fb fb fb

Jumlah mangsa banjir di tiga negeri terus menurun setakat petang ini - NADMA

Foto Hiasan / Fail

KUALA LUMPUR, 28 Januari - Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Pahang dan Johor terus mencatatkan trend penurunan kepada 1,114 orang di 12 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 4 petang ini berbanding 1,340 orang pada tengah hari tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), seramai 1,057 mangsa direkodkan di Terengganu yang ditempatkan di sembilan PPS di Daerah Dungun.

Di Johor pula, seramai 29 mangsa kekal ditempatkan di sebuah PPS di Kota Tinggi, manakala di Pahang turut mencatatkan keadaan sama iaitu 28 mangsa masih berlindung di dua PPS di Daerah Rompin.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu, setakat petang ini.

Antara sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor); Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan); Sungai Rompin dan Sungai Pahang (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan 25 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Trolak Selatan di Batang Padang, Perak; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN