KUALA KRAI, 3 Julai - Bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih di Kelantan berkurangan kepada 10,680 dari Januari hingga Jun tahun ini, berbanding 21,001 bagi tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM), Jasri Kasim berkata, pengurangan itu dipengaruhi beberapa faktor termasuk pembukaan semula ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditamatkan dua tahun lalu.
Selain itu, ia juga didorong dengan pemberian pelbagai bantuan kesejahteraan rakyat daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan terlibat.
Menurut beliau, daerah Kota Bharu mencatatkan jumlah KIR miskin tegar tertinggi dengan jumlah 2,092 orang di ikuti Tumpat 1,385 dan daerah Pasir Mas 1,310.
Beliau berkata dalam ucapannya sempena Program Ziarah Kasih Ihsan Aidiladha 1444H tahun 2023, di sini.
(Haslinda bergambar bersama-sama beberapa penerima daging segar dan bakul makanan)
Teks dibacakan Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan Kecil Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM), Haslinda Jamaluddin.
Pada program itu, Haslinda turut menyampaikan sumbangan daging segar daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad dan bakul makanan daripada pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM) kepada 82 orang keluarga miskin tegar eKasih daerah Kuala Krai.
Pemberian itu bagi meraikan golongan miskin tegar dan miskin, menyambut hari raya Aidiladha pada tahun ini selain merupakan sebahagian inisiatif I Care For You ICU JPM selaras agenda Malaysia MADANI dalam membantu dan menoktahkan kemiskinan di Malaysia dan negeri Kelantan khasnya.