fb fb fb fb fb

Jualan Rahmah Madani jadi pilihan warga Perlis

Foto RTM

KANGAR, 9 Jun- Pelaksanaan Jualan Rahmah Madani oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis sejak April 2023 sehingga kini terus memberi manfaat kepada penduduk di Perlis.

Sejak Januari sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 77 program Jualan Rahmah melibatkan 46 penganjuran secara bergerak, 21 di dalam premis, enam di luar premis termasuk masjid serta empat lagi penganjuran khas sempena Aidilfitri dan Pesta Angin Timur Perlis.

Menurut Pengarah KPDN Negeri, Norazah Jaapar dalam kenyataannya, sebanyak RM2.34 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani sepanjang tahun ini.

Bagi tempoh Januari hingga 31 Mei lalu, nilai jualan keseluruhan yang direkodkan mencecah RM2.112 juta   dengan memberi manfaat kepada lebih 55,000 penduduk Perlis.

Inisiatif Jualan Rahmah Madani yang dilaksanakan setiap minggu mengikut pengiliran di ketiga-tiga kawasan Parlimen dilihat menjadi pilihan utama rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah dan berpatutan sekali gus meningkatkan penjimatan perbelanjaan harian mereka.

Berbanding pelaksanaan di premis perniagaan terpilih, program Jualan Rahmah Bergerak menerusi pendekatan Kedai Cari Rakyat dilihat lebih mendapat tumpuan berikutan diadakan berhampiran penempatan penduduk yang memudah akses.

KPDN Perlis sentiasa komited untuk menambah baik inisiatif Program Jualan Rahmah Madani sebagai usaha memastikan manfaatnya terus dinikmati golongan sasar.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD