KUALA LUMPUR, 10 Julai - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi jabatan dan agensinya akan mempergiatkan usaha melakukan hebahan mengenai Jualan Rahmah.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata hebahan bakal dilakukan Jabatan Penyiaran menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkaitan tarikh dan lokasi jualan Rahmah.
Katanya, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha membantu lebih ramai golongan yang terkesan dengan kos sara hidup terutama dalam mendapatkan barangan asas.
"KKD melalui Jabatan Penyiaran akan menerbitkan senarai lokasi tarikh bagi trak-trakJualan Rahmah ini untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan penjimatan bila mereka beli barangan mentah dan barang keperluan, mereka tahu ke mana mereka hendak tuju," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran MDEC Horizon, di sini.
Fahmi berkata demikian sebagai mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menjangkakan kenaikan harga barangan sehingga 20 peratus pada Ogos depan.
Tambah Fahmi, usaha itu juga katanya turut akan digerakkan oleh Jabatan Penerangan bersama sukarelawan Komuniti Madani.
Jelasnya, selain kestabilan harga, kerajaan juga memantau isu bekalan barangan agar tidak membebankan pengguna.