fb fb fb fb fb

Jualan Agro Rahmah, inisiatif proaktif kawal harga produk agromakanan

(FOTO BERNAMA)

PUTRAJAYA, 6 April - Program jualan Agro Rahmah merupakan inisiatif proaktif kerajaan bagi memastikan ketelusan dan kawalan produk harga agromakanan.  

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program jualan terus dari ladang itu mampu menangkis peranan orang tengah.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

 "Tapi yang penting disini kalau kita tengok harga sayur jauh lebih murah kerana tidak melalui orang tengah dengan keuntungan berlebihan.

"Tengok harga ini betul-betul jauh lebih rendah daripada pasar biasa, begitu juga harga barang-barang makanan lain buah-buahan, ikan, udang dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jualan Agro Rahmah di Tapak Bazar Ramadan, di sini.

Tambah Anwar, projek rintis Agro Rahmah di Putrajaya itu akan diperluas ke setiap negeri dengan pelaksanaannya akan diperhalusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta Agensi terlibat. 

Jualan Agro Rahmah akan dilaksana dua minggu sekali di tapak bazar ramadan Presint 3 dan akan berakhir pada Jun.

Menerusi jualan tersebut, pengunjung akan dapat menikmati potongan harga sehingga 65 peratus daripada perbelanjaan sayur-sayuran dan bahan mentah kegunaan harian.

Sementara itu, Anwar turut mengumumkan sewa tapak bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya diturunkan kepada RM850 berbanding RM1,000 sebelum ini.

Katanya, keputusan tersebut memberi peluang kepada peniaga mendapat lebih keuntungan dan jika sambutan baik dengan cara yang lebih teratur, diskaun sewa itu boleh dipanjangkan selepas bulan Ramadan.

Media Baharu